Selamat datang ke QuranicWorld.blogspot.com..... -By Nabilah bt Harun

Monday, December 29, 2008

Muslim harus dinamik dan sederhana..


Bismillahhirrahmanirrahim, pujian yang penuh barakah dan mulia bagi Allah S.W.T sebagai permulaan kata. Selawat yang diiringi salam diukirkan buat baginda Saiyyidina Muhammad S.A.W. Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 143 "Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu wahai umat islam "umat pertengahan" agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu.."

Seperti biasa, suka saya kongsikan bersama rakan-rakan seperjuangan tak kira dimana saja mereka berada tentang tajuk yang tertera diatas berkenaan jalan pemikiran seorang muslim. Pada mulanya saya ingin meletakkan tajuk "Pelajar Syariah harus dinamik dan sederhana" demi menekankan bahawa tajuk ini khas diulas untuk santapan rakan-rakan saya dalam bidang Syariah yang mulia ini. Namun setelah merenung sebentar adalah lebih baik ianya di tukar kepada "Muslim harus dinamik dan sederhana" kerana ianya lebih terbuka bagi semua saudara muslimin dan muslimat untuk merenung dan berfikir sejenak tentang isu yang bakal dibangkitkan.

Dinamik dan sederhana adalah dua prinsip yang bergabung dalam manhaj umat islam iaitu prinsip Tawassut ataupun pertengahan. Konsep pertengahan inilah yang mengajar kita tentang kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan tak kira dalam ibadah ataupun perkara2 biasa yang bukan ibadah. Dalam sebuah riwayat yang menceritakan tentang 3 orang sahabat Nabi S.A.W, yang berjumpa dengan Ummu alMukminin Aisyah R.A dan bertanya padanya tentang amalan-amalan Nabi S.A.W. Setelah diceritakan kepada mereka tentang amalan baginda S.A.W maka mereka seolah-olah menganggap bahawa amalan-amalan tersebut sedikit. 3 orang sahabat tersebut lantas berazam untuk melampau dalam melakukan ibadah seraya berkata salah seorang daripada mereka:"Aku akan bangun beribadah pada malam hari dan tidak akan tidur!", seorang lagi berkata:"Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak berbuka", dan yang ketiga berkata :" aku tidak akan mengahwini mana-mana perempuan!", maka apabila perkara ini sampai kepada pengetahuan Nabi S.A.W maka baginda yang sentiasa mendidik umatnya berjumpa dengan 3 sahabat tersebut dan bertanya :"Apakah kamu semua yang mengatakan perkara tersebut?", maka jawab mereka "ya wahai Rasulallah", maka Nabi Muhammad S.A.W menerangkan kepada mereka dalam sebuah makna hadith :"sesungguhnya akulah orang yang paling takutkan Allah S.W.T diantara kamu, sesungguhnya aku berpuasa dan berbuka, aku bangun beribadah dan aku juga tidur serta aku mengahwini perempuan!."

Inilah manhaj muslim!! manhaj para pendakwah! manhaj pelajar Syariah! kesederhanaan dalam kehidupan adalah amat penting. Namun apa yang ingin saya tumpukan disini bukanlah kesederhanaan dalam ibadah ataupun dalam perbuatan tetapi dalam pemikiran. Konsep tawassut ini bukan sahaja harus diguna pakai dalam perbuatan kita namun dalam pemikiran dan pendapat juga harus ada kesederhanaan. Sebagai contoh sekiranya ditanya tentang pendapat seorang agamawan tentang penggunaan television ataupun internet. Ada sebahagian golongan yang terus mengharamkan atau menghalang keras penggunaan bahan tersebut kerana katanya ia mengandungi perkara-perkara yang haram. Apakah ini jawapan yang dinamik dan sederhana? tidak! Internet dan television merupakan platform bagi sesuatu informasi ataupun hiburan dalam bentuk data, audio mahupun video. Jadi sekiranya kita faham bahawa ia hanyalah platform bagi sesebuah rancangan mengapa kita harus mengharamkannya secara mutlak? Sebaliknya seorang muslim harus dinamik dan sederhana dalam berfikir untuk menghukum sesuatu perkara. Jadi bukankah lebih baik kita bersederhana dengan melihat apakah yang ditayangkan didalam television atau internet itu, sekiranya hanya terdapat perkara-perkara yang haram ataupun yang sangat boleh mendatangkan haram maka barulah kita mengharamkannya. Adapun sekiranya ianya 50-50 ada yang baik dan ada yang haram maka tutuplah platform yang haram sahaja dan buka serta sebarkan platform yang baik ataupun dalam bahasa internet laman web. Beginilah pada pandangan saya seseorang muslim harus berfikir.

Saya mengambil lagi satu contoh yang boleh kita renungkan. Ada dikalangan golongan yang mendakwa dirinya ahli sufi suka mengambil hadith2 dhai'f sebagai sandaran dan suka mengamalkan mana-mana hadith dho'if yang selari dengan amalan mereka, secara kontradiknya ada pula antara golongan salafi yang menolak sehabis-habisnya mana-mana sahaja hadith dha'if tak kira maknanya mahupun sanadnya. Maka sebuah pihak mengambil mana-mana saja hadith dho'if tanpa mengira riwayatnya untuk diamalkan dengan berleluasa. Manakala sebelah pihak pula membuangnya berhabis-habisan tak kira riwayat mahupun manfaat. Bukankah lebih dinamik dan sederhana sekiranya kita kaji hadith2 dha'if tersebut, sekiranya memang kuat kedha'ifannya maka apa kata kita tolak riwayatnya. Namun sekiranya matan hadith tadi merupakan kata-kata hikmah yang boleh membawa kebaikan apa salahnya kita jadikannya mutiara kata dan mengamalkan apa yang baik pada kata-kata tersebut? Lihat! inilah cara berfikir yang membawa afkar(fikrah-fikrah) yang lebih terbuka. Maka tak perlu bergaduh kerana golongan yang mendakwa diri mereka salafi dan sufi tadi telah menemui titik pertemuannya iaitu mengamalkan apa yang baik daripada hadith2 tadi serta menolak riwayatnya! Selesai masalah dengan mudah.

Begitulah kita dalam setiap tindakan dan pandangan jangan terlalu radikal!! jangan pula terlalu bermudah-mudah "laa ifraat walaa tafriit" itulah manhaj yang diajarkan dalam al-quran dan as-sunnah. Tajuk ini mungkin saya akan bawakan untuk kita bincangkan bersama dalam dewan kuliah kalau ada kesempatan kerana ianya amat penting, ada yang sudah memahami tajuk ini tetapi gagal mengamalkan manhaj pemikiran begini. Memang tidak dapat dinafikan agak sukar untuk kita sentiasa adil dan berada di pertengahan dalam setiap pandangan kita pasti saja ada pengaruh-pengaruh lain yang mempengaruhi kita supaya keluar daripada garisan tawassut ini. Apa-apa hal pun berusahalah dengan membaca seni-seni atau gaya-gaya pemikiran para ulama' terdahulu dan masa kini i'allah kita akan dapat sedikit-sebanyak cara untuk berfikir dengan betul. Allahumma Ameen.~ wsslm.