Orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah menantikan kedatangan Ramadhan dengan penuh harapan dan kegembiraan apabila mengigatkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain. Ada juga segelintir umat islam yang berasa resah kerana tidak dapat lagi menjamu selera seperti bulan-bulan sebelumnya. Bagi sesetengah orang pula,Ramadhan adalah bulan rezeki bagi peniaga makanan di bazar Ramadhan.Bagi yang berpuasa pula adalah satu nikmat ketika menikmati pelbagai juadah berbuka yang lazat.
Apapun persepsi kita terhadap Ramadhan,ia bukanlah bulan yang asing bagi setiap umat Islam dan bulan ini memang ditunggu kedatangannya bagi mereka yang beriman dan bertaqwa.
firman ALLAH : "hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu , agar kamu bertaqwa ".
(*albaqarah : 183)

Ramadhan
setiap degup nafasku
setiap denyut nadiku
setiap detik ingatanku
rasa rindu dan kasih ini akan selalu mengiringiku sepanjang waktu
selama mana nafas masih menjadi milikku
YA ALLAH


Diriwayatkan dari Sa’ad bin Abi Waqas, hadith yang bermafhum; “Bacalah Al-Quran dan menangislah. Sekiranya tidak dapat menangis, maka buat-buatlah menangis (paksa menangis)."
Menangis yang dimaksudkan di sini ialah tangisan yang tercetus dari penghayatan kerana memahami ayat-ayat Al-Quran. Jika kita benar-benar memahami isi kandungan Kitabullah ini, kita dikhabarkan dengan azab dan ancaman Allah Ta’ala ke atas segenap manusia yang mengingkari akan syar’iat, jiwa-jiwa yang enggan untuk mematuhi suruhan dan larangan Tuhan.
Kita akan sedar betapa lemahnya kita dalam melunaskan janji-janji kita terhadap Allah Azzawajalla. Jika pembaca Al-Quran itu tidak dapat menangis, maka berusahalah sedaya mampu untuk mengalirkan air mata. Demi mengelakkan sebesar-besar musibah ke atas dirinya, iaitu kegagalan untuk menghayati firman Tuhan.
Untuk menampung kesukaran dalam memahami ayat-ayat Allah Ta’ala, amatlah digalakkan bagi kita untuk mengalunkan bacaan Al-Quran dan mentadabbur ayat-ayat tersebut. Jangan sekali-kali lupa untuk merujuk terjemahannya.
Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa kesan dari membaca Al-Furqan bakal membentuk dua sifat sahaja, sama ada sifat orang kafir atau orang yang beriman. Karakteristik orang kafir telah dinyatakan di dalam ayat 5, surah Fussilat yang membawa maksud; “Dan mereka berkata, ‘Hati kami sudah tertutup dari apa yang engkau seru kami kepada-Nya, dan telinga kami sudah tersumbat, dan di antara kami dan engkau ada dinding, kerana itu lakukanlah (sesuai kehendakmu), sesungguhnya kami akan melakukan (sesuai kehendak kami).”
Di dalam ayat ini, ’al-kinnah’ ditafsirkan sebagai kunci yang menghalang seseorang untuk memahami Al-Quran. Contohnya, tidak berusaha untuk memahami dan mengambil iktibar dari ayat-ayat Allah Ta’ala. Manakala ‘waqrun’ didefinisikan sebagai penyumbat yang menghalang telinga dari mendengar Al-Quran dan ‘hijab’ pula suatu yang menghalang pandangan dari memahami intipati Al-Furqan.
Pembaca Al-Quran perlulah cuba sedaya upaya untuk memahami kalam Allah Ta’ala agar tergolong dalam kelompok orang-orang yang beriman. Inilah yang telah dinyatakan di dalam ayat 53, surah Al-Qasas, maksudnya; “Dan apabila (Al-Quran) dibacakan kepada mereka, mereka berkata ‘Kami beriman kepadanya, sesungguhnya (Al-Quran) itu adalah suatu kebenaran dari Tuhan kami. Sungguh, sebelumnya kami adalah Muslim.”
Ayat 2, surah Al-Anfaal pula mengkhabarkan bahawa orang yang beriman apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran kepadanya, akan bertambahlah iman mereka. Juga mereka merasa gementar apabila disebut nama Allah Ta’ala!
Menurut Asma’ bin Abu Bakar, para sahabat Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam apabila mendengar bacaan Al-Quran, bergenanglah air mata serta dan bergetarlah kulit mereka lantaran rasa ketundukan sebagai hamba Tuhan.
Syed Qutb menambah tentang sifat yang paling menyerlah di kalangan para sahabat, iaitu menerima Al-Quran untuk mengamalkannya.
Abu Bakar As- Siddiq dan Umar Al-Khattab, ketika berada di sisi Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam telah ditanya oleh suatu kabilah yang sedang bertengkar; siapakah yang lebih layak di kalangan kabilah itu untuk menjadi ketua. Lalu Abu Bakar menjawab si fulan, dan Umar pula menjawab si fulan. Lalu kedua-duanya bertekak dengan dengan suara yang keras sehingga turun ayat 2, surah Al-Hujuurat (larangan untuk meninggikan suara di atas suara Nabi dan untuk bersuara keras). Setelah turun ayat tersebut, kedua-dua insan agung itu mengalirkan air mata dan berbicara dengan lemah-lembut apabila berhadapan dengan Nabi.
Ayuh renung sekilas kisah tentang sikap Imam Hassan Al-Banna yang asyik mendampingi Al-Quran. Abdul Rahman As-Saati (ayahnya) menceritakan bahawa di rumahnya hanya Allah Ta’ala yang menjadi saksi bahawa Al-Banna tidak pernah melepaskan mushafnya, membaca Al-Quran dan juga berzikir.
Lazimnya, Al-Banna akan memperdengarkan bacaannya kepada Al-Hafiz dari kalangan mereka. Jika tiada Al-Hafiz di situ kecuali dari kalangan kanak-kanak, dia tetap akan menyemak bacaannya dengan kanak-kanak itu. Sujudnya juga larut dalam keimanan. Apabila Al-Banna tahu bagaimana cara Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam mengaji, dia akan mengikut cara tersebut. Kadangkala Al-Banna membaca Al-Quran dengan penuh kegentaran, dan adakalanya gembira hingga terbawa-bawa di luar tilawahnya (apabila membaca khabar-khabar gembira yang diwahyukan oleh Allah Ta’ala).
Dikisahkan bahawa seorang anak murid Hassan Al-Basri di Basrah tidak datang ke majlis ilmunya, lalu beliau bertemu dengannya untuk bertanyakan sebabnya. Anak muridnya menjawab; semasa dia sedang membaca Al-Quran, dia terjumpa ayat 11, surah As-Sajjadah. Kerana terlalu takut dengan apa yang diberitakan oleh Allah Ta’ala, sehari suntuk dia menggeletar kerana memikirkan bagaimanakah nasibnya apabila berdepan dengan malaikat maut satu hari kelak.
Dua lagi ayat yang benar-benar menjentik sikap beraninya ialah ayat 100, surah Al-Mu’minun dan ayat 41, surah Al-Qaff. Ayuh kita sama-sama membaca ketiga-tiga ayat ini.
Syurga ialah tempat kenikmatan dan kebahagiaan di akhirat yang dikurniakan kepada hamba-hamba Allah yang beramal soleh. Neraka pula tempat azab keseksaan disediakan untuk mereka yang beramal tholeh (kejahatan).
Untuk melayakkan diri ke syurga, seseorang itu mestilah menempuh banyak ujian seperti melaksanakan suruhan Allah dan rasul serta menjauhi laranganNya. Kesemua ini memerlukan semangat dan kekuatan yang bermula dari keimanan kepada Allah. Sudah tentu untuk mengerjakan solat, puasa, haji dan amal kebajikan lain amat payah kecuali bagi mereka yang beriman. Sebab itulah Nabi mengatakan jalan ke syurga penuh dengan kesusahan.
Bukan mudah untuk masuk ke syurga. Kita kena bermujahadah atau berjuang melawan nafsu untuk melakukan kebaikan. Syaitan dan nafsu memang menyuruh kita berbuat kejahatan dan tidak menggalakkan kita melakukan kebajikan. Jika kita turutkan kehendak syaitan sudah tentu kita tidak mampu melakukan sebarang kebajikan.
Sebaliknya jalan ke neraka amat mudah kerana dikelilingi dengan kehendak syahwat. Semua manusia memang cenderung mengikut kehendak nafsu dan syahwat. Syaitan pula sentiasa mendorong manusia mengikut hawa nafsu. Amat mudah melakukan kejahatan.
Nah, di depan kita terbentang dua jalan. Terpulang kepada kita jalan mana untuk diikuti. Tepuk dada dan tanyakan iman - bukan tanya selera yang memang suka kepada nafsu
Betapa tak susah masuk syurga? Dalam satu keterangan dinyatakan: orang jahil semuanya binasa kecuali yang berilmu. Orang berilmu semuanya binasa kecuali yang beramal. Orang beramal semuanya binasa kecuali yang ikhlas. Untuk mencapai darjah keikhlasan perlu banyak berjuang. Ibarat mendaki bukit yang tinggi, hanya orang yang lasak saja berjaya sampai ke mercu.
Kebahagiaan di dunia belum menjadi pasport untuk ke syurga. Malahan adalah menjadi kesalahan jika kekayaan yang didapati tidak diperolehi dan dibelanjakan secara Islamik.
Semua manusia inginkan hidup senang. Kesenangan di dunia hanya sementara manakala kesenangan akhirat kekal abadi. Orang yang bijak sudah tentu memilih kesenangan yang hakiki bukan yang bersifat sementara. Hanya orang yang cetek akal saja memilih kesenangan dunia dan mengenepikan kesenangan akhirat.
Syaitan selalu membisikkan kepada kita tentang amal kita yang banyak walaupun baru sikit benar. Kita gembira apabila dipuji manusia. Timbul rasa ujub dan riak yang memusnahkan pahala. Kita tak perasan kita sebenarnya berdosa sebaliknya menyangka kita masih beramal soleh. Kita mesti mengawas dari serangan penyakit batin seperti ria, ujub, bongkak, sombong, dengki yang kesemuanya merosakkan amalan. Di sini peranan ilmu tasauf yang perlu kita pelajari dan dalami.
Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan sebarang ketaatan, Allah sudah terlebih dulu mendahului dan mengingati kita. Kalau Allah tak gerakkan kita untuk beramal, kita tak akan beramal. Ini maknanya Allah mendahului kita. Jangan sangka kita yang beramal, sebenarnya Allah menggerakkan kita beramal. Jadi soal pahala tak timbul. Sepatutnya kita bersyukur kerana Allah gerakkan kita beramal.
Bagaimana kita mahu mendabik dada tentang amalan kita? Saidina Ali yang sudah dijamin masuk syurga pun mengeluh kerana bimbang kurang amalan sedangkan perjalanan ke syurga amat jauh. Saidina Ali memang terkenal dengan zuhud dan banyaknya melakukan amal ibadat. Bagaimana dengan diri kita? Saidina Ali Menggigil mengenangkan bekalan yang sikit untuk perjalanan ke akhirat yang jauh.
Kesimpulannya kita terpaksa mengharung kesusahan mencari ilmu akhirat serta mengamalkannya. Kesusahan dalam hal akhirat adalah rahmat. Dengan kesusahan ini Allah mengampun dan meninggikan darjat kita. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan hanya di akhirat. Seseorang tidak diberi pahala jika tidak bersusah-payah menempuh dugaan dan cabaran.
Ingat sekali lagi pesanan Nabi saw “Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat.” Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana itu jalan ke syurga. Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana itu jalan ke neraka.
Wallahu ‘Alam. .

Antara ayat mengenai sains ialah yang berkaitan dengan pengembangan alam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan, langit Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami. Sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.”
Ayat ini menceritakan mengenai pengembangan alam. Ini bermaksud langit diluaskan oleh Allah. Allah sudah menyatakan ribuan tahun dahulu, jika ada orang yang menolak al-Quran kerana menyangka dirinya maju dengan sains, sepatutnya tunduk dengan fakta ini. Pada tahun 1929 Edwin Hubble dengan menggunakan alat canggih meneropong ke langit mendapati alam ini sebenarnya mengembang dan membesar malah saintis sekarang ini berupaya mengukur kelajuan pengembangan alam.
Kedua, ayat berhubung teori Big Bang. Hal ini sudah lama disentuh ribuan tahun dulu dalam surah al-Anbia': 30, bermaksud: “Apakah orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum satu kemudian Kami pisahkan (letupkan) antara kedua-duanya.”
Maknanya langit dan bumi asalnya melekat bercantum, Allah pisahkan antara keduanya dengan udara. Teori Big Bang diasaskan oleh formula umum ‘Theory Of Relativity’ oleh Einstein 1915, kemudian disahkan pakar fizik Rusia pada 1922. Pada 1929 teori ini disahkan Edwin Hubble. Cuba bayangkan hakikat yang ditemui pada abad 20 ini telah dijelaskan oleh al-Quran sejak 1400 tahun dulu.
Segala penemuan ini selari penyataan ayat al-Quran yang menunjukkan al-Quran “Kalamullah” kerana ilmu sains belum berkembang pada zaman Nabi Muhammad (s.a.w), tambahan pula tiada sebarang kemudahan yang tidak memungkinkan manusia mengetahui asal-usul alam ini. Benarlah al-Quran bukan ciptaan Muhammad. Jadi tidak hairan sekiranya orang Islam mendahului bangsa lain dari sudut ketamadunan. Ini kerana al-Quran berada di hati mereka, sebagaimana disebut dalam pertemuan lalu al-Quran bukan hanya dibaca tapi juga untuk memakmurkan alam ini. Percikan daripada kehebatan al-Quran inilah terbinanya tamadun di Iraq, Sepanyol, Turki, India , Afrika dan Barat mempelajari daripada Islam seterusnya mengembangkan lagi menurut acuan mereka. Yang tidak seronoknya mereka menimbus serta memadamkan sumbangan Islam dalam dunia sains malah memutar belit fakta sejarah dengan menuduh Islam tidak menyumbang apa-apa.
Justeru, dalam menimba ilmu, remaja jangan lupa melihat sejarah tamadun Islam. Belajar di Barat untuk mencari ilmu bukan satu kesalahan, yang kita bimbang sebelum dapat ilmu sudah jadi Barat, pergaulannya, pakaiannya dan budayanya. Marilah kita maju dengan acuan dan budaya kita sendiri, berpaksikan al-Quran, sunnah.
"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."
Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata:
"Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.
"Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata:
"Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezeki-NYA."
Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata:
"Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?
"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham.
"Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!
Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.
Ibrahim kembali berkata kepadanya:
"Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"
"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab:
"Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!"
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata:
"Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"
"Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Ibrahim melanjutkan:
"Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh"
Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar dan berkata:
"Wahai Ibrahim , mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?"
Ibrahim pun menjawab:
"Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata:
"Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya."Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran.
"Mulai saat ini aku ingin bertaubat kepada Allah." katanya sambil teresak-esak.
Kesimpulan: JANGAN MELAKUKAN MAKSIAT.
